Friday, November 14, 2008

Politik wang palit imej buruk calon Timbalan Presiden Umno

DAKWAAN bekas Ahli Parlimen (Umno) Parit Sulong, Dato' Ruhanie Haji Ahmad kononnya pencalonan dua calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikaitkan dengan politik wang, adalah dakwaan berat yang perlu dibersihkan.
Kebetulan, pencalonan Mohd Ali dan Muhammad hanya mencukupi quota minimum disaat-saat akhir yang dilihat seperti ada 'kuasa luar' yang menyebabkan ianya mencukupi walaupun tidak mudah mendapatkannya.
Ruhanie yang dikenali dengan panggilan Ron ini turut menawarkan diri bertanding anggota Majlis Tertinggi (MT), tetapi tidak mendapat cukup pencalonan, hinggalah saat-saat akhir.
Sehingga habis semua kecuali lima bahagian mengadakan persidangan, 73 nama berjaya dimasukkan dalam senarai pertandingan MT, yang mensyaratkan sekurang-kurang 10 pencalonan atau lima peratus.
Ron tidak pula menyebut, pencalonan turut terkait dengan isu politik wang, seolah-olah, yang mencalonkan Muhyiddin 'bersih' tetapi yang mencalonkan selain dari Muhyiddin, 'disyaki' ada unsur-unsur lain, khususnya politik wang.
Persoalannya, mengapa Ron tidak bertindak mengadukan hal ini kepada Lembaga Disiplin (LD) yang sudah mengesahkan menerima 1,000 aduan mengenai berlakunya politik wang, tetapi belum kelihatan membicarakan sesiapa dari kalangan jerung untuk dihalang daripada bertanding dalam pemilihan Mac depan.
Bukan Ron sahaja, ramai lagi orang-orang besar dalam Umno yang mengesahkan mereka tahu ada berlaku politik wang. Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, mempelawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) komited dalam menyalankan siasatan seterusnya menyeret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Exco Pergerakan Pemuda Umno mula membayangkan dia seorang yang bersih dari politik wang, malahan menolak sebarang perlawaan debat untuk menyatakan misi dan visi, kecuali mengajak semua calon-calon supaya 'menjauhkan diri dari politik wang'.

Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim pula membayangkan dialah yang paling bersih kerana setiap kali kenyataan yang dikeluarkannya, seolah dia dan pegawai-pegawainya tidak pernah menghulur sesiapa di peringkat bahagian supaya 'bawa kawan-kawan makan' untuk meminta pencalonan.

No comments: