Saturday, November 8, 2008

Pemuda PKR tersepit dalam dakwaan rasuah Umno - Malaysiakini

Angkatan Muda PKR Terengganu membuat laporan polis berhubung dakwaan memberi rasuah kepada seorang individu untuk membuat fitnah terhadap dua pemimpin Umno Marang.Ketuanya Fariz Musa membuat laporan terhadap timbalan ketua Umno bahagian Marang, Alias Abdullah di balai polis Kuala Terengganu petang Rabu lalu."Saya membuat laporan polis tersebut berdasarkan dua akuan bersumpah yang diterima semalam.

"Seorang individu mengaku beliau disogok sejumlah wang oleh Alias supaya membuat akuan sumpah palsu terhadap pimpinan Umno Marang," katanya, yang juga timbalan ketua AMK pusat, ketika dihubungi kelmarin.Hadir bersama lapan ahli AMK negeri, Fariz dalam laporan polisnya berkata beliau menerima dua akuan bersumpah itu pada jam 4.15 petang Selasa lalu selepas balik dari Kuala Lumpur.

Katanya, dua dokumen tersebut berada di dalam peti surat rumahnya dan mendapati ia disediakan oleh Jaafar Jambol dari Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu. Bagaimanapun Jaafar, seorang penyokong Umno, menafikan pernah membuat akuan tersebut dan Alias A bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Fariz.

Dalam akuan tersebut, Jaafar mendakwa, Alias A telah memaksa dan memujuknya untuk menulis surat pada 28 Mac lalu untuk membuat tuduhan palsu dan fitnah kepada dua pemimpin Umno Marang.Dua pemimpin berkenaan ialah bekas ketua bahagian Datuk Abdul Rahman Bakar, yang tewas dalam mesyuarat bahagian 25 Oktober lalu, dan adiknya Alias Bakar, yang juga bekas ahli jawatankuasa bahagian.

Dalam akuan itu lagi, Jaafar didakwa berkata beliau amat menyesal dengan surat tersebut kerana "kandungannya rekaan semata-mata dan berniat jahat kepada dua pemimpin itu melalui pujukan, rayuan dan paksaan Alias A."Beliau mengakui disogok RM1,000 oleh Alias A untuk membuat akuan sumpah tersebut, Jaafar didakwa berkata dalam akuan tersebut.Akuan sumpah itu dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah Wan Muhamad Abdullah di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, 22 September lalu.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat menghubungi beliau untuk mengesahkan akuan bersumpah itu. Pada 28 Mac lalu, Jaafar dikatakan menulis surat kepada lembaga disiplin Umno di Kuala Lumpur mendakwa Abdul Rahman dan Alias B membantu pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.Abdul Rahman, bekas timbalan menteri sumber manusia, tidak dipilih mempertahankan kerusi parlimen Marang dalam pilihanraya 8 Mac. Bagaimanapun, ketika dihubungi hari ini, Jaafar menafikan beliau menulis dua akuan bersumpah tersebut dan mendakwa tidak tahu-menahu mengenainya."Surat akuan tersebut dibuat oleh manusia yang tidak bertanggungjawab yang tujuannya mungkin untuk memburuk-burukkan Alias A.

"Saya kehilangan kad pengenalan pada 21 September lalu (sehari sebelum tarikh dua akuan sumpah) tetapi telah dilaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.Beliau mengakui pernah menulis surat kepada lembaga disiplin Umno berhubung pembabitan Abdul Rahman dan Alias B tetapi menafikannya ia bertarikh Mac lepas, sebaliknya April lalu.Jaafar berkata, beliau telah menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Katanya, beliau juga akan menyiasat untuk mengetahui pihak sebenar yang menulis akuan tersebut.Sementara itu, Alias A yang juga wakil rakyat Alor Limbat memberitahu Malaysiakini semalam, tuduhan bahawa beliau meminta Jaafar membuat akuan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas."Ini satu tindakan desperado pemimpin politik tertentu di bahagian Marang," katanya.Alias A berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Fariz kerana turut menyeretnya namanya semasa membuat laporan polis tersebut. "Saya tidak faham mengapa Fariz yang membuat laporan itu kerana beliau bukan ahli Umno," katanya.Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya menganalisis kandungan laporan polis berkenaan untuk tindakan lanjut.

Diminta mengulas tindakan Alias A dan Jaafar terhadapnya, Fariz hari ini berkata terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian. "Saya buat laporan polis itu berdasarkan akuan bersumpah yang saya terima dan meminta polis menyiasatnya," katanya. "Laporan polis itu dibuat kerana ada nama yang dinyatakan dalam akuan bersumpah tersebut. "Isu ini serius kerana Alias A seorang wakil rakyat dan pengamal undang-undang."Tambahnya, beliau membuat aduan itu kerana dakwaan itu membabitkan kes rasuah.

No comments: